USM MEMACU KESEDARAN ALAM SEKITAR MELALUI E-SUKAN
USM PULAU PINANG, 17 Mac 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi Kejohanan Peringkat Kebangsaan ke-4 USM CGSS X Tzu Chi PaGamO E-Sukan Piala Dunia Pendidikan Alam Sekitar 2025. Kejohanan ini dianjurkan oleh Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM, dengan kerjasama strategik Yayasan Tzu Chi Malaysia, Swisspac Resources Sdn Bhd, dan Green Educators' Workgroup (GREW). Bertemakan "Perlindungan Alam Sekitar dan Pencegahan Bencana," kejohanan ini diadakan pada 16 Mac 2025 bertempat di Dewan Utama Peperiksaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Matlamat utama kejohanan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar melalui kaedah pembelajaran yang inovatif dan interaktif, selaras dengan perkembangan teknologi dalam dunia pendidikan.
Kejohanan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan murid sekolah rendah dan menengah dari pelbagai negeri, termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, dan Johor. Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi utama kejohanan, sementara pertandingan turut diadakan secara maya di Melaka dan Johor bagi memastikan penyertaan yang lebih meluas dari seluruh negara. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Pengarah CGSS, USM. Turut hadir dalam majlis ini ialah beberapa tetamu kehormat yang memainkan peranan penting dalam menjayakan kejohanan tersebut, antaranya Encik Song Boon Kah, Timbalan Pegawai Eksekutif Yayasan Tzu Chi Malaysia, Yang Berbahagia Dato' Khoo Boo Leong, D.S.P.N, Pesuruhjaya Yayasan Tzu Chi Malaysia (Pulau Pinang), serta Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Timbalan Pengarah CGSS merangkap penyelaras Environmental Protection and Education Hub (EPEHub), CGSS USM dan juga Pengurus Projek Kejohanan Peringkat Kebangsaan ini.
Dalam ucapan perasmian Pengarah CGSS, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei menekankan bahawa kejohanan ini mencerminkan gabungan unik antara e-sukan dan pendidikan alam sekitar. Walaupun kedua-dua bidang ini berbeza, ia berkongsi matlamat yang sama, iaitu melindungi masa depan bumi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CGSS, USM, dan Yayasan Tzu Chi yang sekian lama memainkan peranan penting dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat. Kejohanan ini menjadi lebih bermakna apabila beliau mengumumkan bahawa 60 peserta terbaik akan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa pada 13 April 2025. Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan, malah membuktikan bahawa generasi muda semakin bersedia untuk menjadi pemimpin dalam usaha memelihara alam sekitar melalui pendekatan digital dan inovatif.
Sepanjang kejohanan berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan yang melibatkan dua kategori peserta, iaitu Sekolah Rendah serta Sekolah Menengah dan ke atas. Kejohanan ini turut menggunakan elemen teknologi dalam perasmiannya, yang menghubungkan lokasi pertandingan di Melaka dan Johor secara maya. Pertandingan akhir pula berlangsung serentak dengan peserta dari utara bertanding di USM, manakala peserta dari Melaka dan Johor bertanding di negeri masing-masing. Kejohanan ini diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dan ucapan penutup oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Penyelidik Kanan, CETREE, CGSS, USM. Dalam ucapan penutupnya, beliau menyuarakan harapan agar kejohanan ini diteruskan dengan lebih cemerlang dan efektif pada masa hadapan. Beliau turut mengumumkan bahawa Kejohanan Peringkat Kebangsaan ke-5 USM CGSS X Tzu Chi PaGamO E-Sukan Piala Dunia Pendidikan Alam Sekitar bakal memperkenalkan versi permainan dalam edisi Bahasa Malaysia. Langkah ini dijangka memperluaskan penyertaan murid sekolah di seluruh negara, sekaligus memastikan lebih ramai pelajar dapat memahami dan menghayati kepentingan kelestarian alam sekitar menerusi teknologi yang lebih mesra pengguna. Dengan edisi istimewa ini, peserta Malaysia boleh memilih bahasa ibunda mereka ketika menjawab soalan dalam permainan, menjadikan pendidikan alam sekitar lebih mudah diakses dan inklusif.
Secara keseluruhannya, Kejohanan Peringkat Kebangsaan ke-4 USM CGSS X Tzu Chi PaGamO E-Sukan Piala Dunia Pendidikan Alam Sekitar 2025 berjaya mencapai objektifnya dalam menggabungkan pendidikan alam sekitar dan teknologi digital sebagai alat pembelajaran interaktif. Kejohanan ini bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan generasi muda, malah berfungsi sebagai platform untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak serta sambutan yang semakin meningkat, kejohanan ini berpotensi untuk berkembang menjadi acara tahunan yang lebih besar dan lebih berimpak tinggi pada masa akan datang. Sebagai kenangan, para pemenang turut bergambar bersama penganjur dan tetamu kehormat, menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha menyebarluaskan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar.
Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi
- Hits: 25